10 Usahanita Yang Berjaya Di Malaysia

# 1
 
SENDAYU TINGGI HOLDINGS SDN. BHD.

Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd. mempunyai 9 buah anak syarikat iaitu Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Properties & Management Sdn Bhd, ST Advertising Agency Sdn. Bhd, C Max Exhibition & Promotion, Sendayu Tinggi Logistics (M) Sdn Bhd, Ethnique Food Industries Sdn Bhd, ST Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd. Sendayu Tinggi juga telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional iaitu Sendayu Tinggi Manufacturing (M) Sdn. Bhd.


SENDAYU TINGGI CORPORATION (M) SDN. BHD.
Telah beroperasi pada awal tahun 1999. Tujuan utama penubuhan syarikat ini ialah untuk memberi pendedahan mengenai perubatan herba tradisional sebagai satu rawatan alternatif kepada masyarakat, bukan sahaja mempunyai kesihatan yang terjamin malahan dapat mengecapi kemakmuran dan memperkayakan kehidupan.


SENDAYU TINGGI BODY & SKINCARE (M) SDN. BHD.
Mula beroperasi pada pertengahan tahun 1999 dan mengekalkan konsep yang sama iaitu produk berasaskan herba. Syarikat ini ditubuhkan kerana perkembangan yang memberangsangkan pada produk keluaran yang lalu dan permintaan yang tinggi ke atas produk kosmetik ini. Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn Bhd masih boleh memonopoli pasaran kosmetik kerana kepercayaan pengguna terhadap kualiti dan keberkesanan produk Sendayu Tinggi.


ST COSMETICS & FRAGRANCES (M) SDN. BHD.
Hasil revolusi daripada Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn Bhd, Sendayu Tinggi menubuhkan sebuah lagi anak syarikat yang menumpukan kepada bidang tatarias wanita iaitu ST Cosmetics & Fragrances (M) Sdn Bhd mula bernaung di bawah Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd sejak September 2003 yang lepas.


ST ADVERTISING AGENCY SDN. BHD.
ST ADVERTISING AGENCY SDN. BHD. beroperasi pada pertengahan tahun 2003. Ia dilihat sebagai sebuah perniagaan yang mempunyai potensi di dalam membantu mempromosikan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. Syarikat ini ditubuhkan adalah untuk membantu memperkenalkan produk keluaran Sendayu Tinggi di seluruh Malaysia malahan turut memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.


C MAX EXHIBITION & PROMOTION
C Max Exhibition & Promotion ialah satu anak syarikat yang bernaung di bawah Syarikat Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd. Ia memberi tumpuan kepada program-program yang berbentuk penglibatan produk seperti pameran, roadshow, promosi atau rancangan television.


ETHNIQUE FOOD INDUSTRIES SDN. BHD.
Ethnique Food Industries Sdn Bhd menghasilkan produk makanan tradisional tempatan dari suku kaum tertentu yang berbentuk segera dan telah dipekkan. Antara produk makanan yang telah dijual seperti ikan pekasam, telur asin, bahulu, kuih bangkit dan serunding. Produk ini telah dipasarkan di pasaran tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.

SENDAYU TINGGI PROPERTIES & MANAGEMENT SDN. BHD.
Sendayu Tinggi Properties & Management Sdn Bhd ditubuhkan pada 30hb Jun 2003. Ia menguruskan perkara berkaitan dengan segala aset syarikat seperti bangunan, rumah kedai dan lain-lain lagi.


SENDAYU TINGGI LOGISTIC (M) SDN. BHD
Sendayu Tinggi Logistic (M) Sdn. Bhd. juga merupakan salah satu anak syarikat Sendayu Tinggi Holdings (M) Sdn. Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 2003. Tujuan penubuhan anak syarikat ini ialah untuk memudahkan proses pengangkutan barang-barang Sendayu Tinggi dan penghantaran produk serta bahan mentah ke tempat-tempat yang diperlukan.


SENDAYU TINGGI  MANUFACTURING (M) SDN. BHD.
Sendayu Tinggi Manufacturing (M) Sdn. Bhd. juga dikenali sebagai Zeeta Herb’s Manufacturing (M) Sdn. Bhd. Ia merupakan pengilang produk herba milik Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. Kilang pemprosesan herba ini telah memperolehi lesen pengilang bertaraf GMP daripada Bahagian Amalan Perkilangan Baik (APB) daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (BPFK).



Profil Usahanita 

WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah, hidup penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.
Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa.
Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, Rozita Ibrahim mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya.
Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Kepada wartawan RAHANA MD dan jurugambar MOHD. SHAHARANI SHAIBI, Rozita berkongsi sedikit pengalaman hidupnya di ibu pejabat Sendayu Tinggi yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Boleh ceritakan sedikit apakah yang mendorong anda untuk berubah?

ROZITA: Kesusahan yang melingkari hidup sejak kecil. Dek kerana kemiskinan yang diwarisi daripada keluarga, saya hidup serba kekurangan. Saya dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang bukan daripada golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda.
Di sisi suami, saya menoreh getah dan menjalankan perniagaan kedai runcit namun kami tetap susah.
Jodoh kami tidak lama, di mana akhirnya membawa saya ke kota dan membuat macam-macam kerja daripada kerja kilang, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan jualan langsung. Terasa lapang sedikit tetapi saya mahu lebih berjaya kerana enggan hidup melarat lagi.

Justeru, apakah yang anda lakukan seterusnya?


Selepas menjalani episod duka yang berterusan saya mengambil keputusan menghasilkan perniagaan sendiri. Alam semula jadi paling hampir dengan kehidupan saya sejak kecil dan saya akui pernah menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa saya hidup susah.
Bermodalkan RM400 saya mulakan perniagaan dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Untuk meyakinkan pelanggan, saya gemukkan badan, kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan hasilnya memuaskan. Saya lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah. Sambutan yang diterima menggalakkan dan mendorong saya menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.

Apakah anda berpuas hati dengan hasil yang dicapai ketika itu?

Syukur, seperti yang direncanakan, perniagaan saya berkembang maju dan sambutan terhadap produk Sendayu Tinggi amat menggalakkan terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu kebanyakan masyarakat kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang sekali gus meningkatkan jualan.
Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan dan dugaan, saya mengambil keputusan meluaskan empayar. Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd..

Apakah yang mendorong anda untuk terus mencipta kejayaan?

Anak-anak menjadi iltizam untuk saya terus berjuang meningkatkan pencapaian pendapatan dan ekonomi. Saya pernah menjadi wanita yang hanya mengikut perintah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi apabila saya bangun dan berjalan, saya tidak akan menoleh lagi. Saya berjanji kepada anak-anak untuk menjadi ibu yang baik kerana dahulu saya kurang limpahan kasih sayang. Namun, saya belajar daripada pengalaman. Kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan selama-lamanya.

Apakah yang anda kongsi dengan masyarakat?

Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba di samping menerapkan dalam diri mereka agar berusaha gigih dan tidak putus asa. Selain menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggan, saya turut menyalur sumbangan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, anak yatim dan warga tua. Walaupun wang ringgit tidak mampu menandingi nilai kasih sayang tetapi saya dapat menggembirakan mereka. Saya sayangkan masyarakat dan ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan utama saya kini mahu membantu mereka terutama ibu tunggal yang susah atau sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjadi pengedar Sendayu Tinggi untuk meningkatkan pendapatan.

Apakah rahsia kejayaan yang anda raih?

Ada racun dan ubat dalam diri sesiapa sahaja dan terpulang kepada kita memilihnya. Saya berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan yang menjadi santapan rohani dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Saya percaya hidup ini umpama roda yang ada kala di bawah dan kemudian berada di atas, lantas semasa di puncak saya minta kepada Tuhan agar tidak lupa diri.

Apakah pencapaian terkini anda?

Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.
Ke manakah hala tuju Sendayu Tinggi selepas ini?
Selepas berjaya memenuhi pasaran produk herba tradisional di pasaran Malaysia selama tujuh tahun, saya bercita-cita membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui roadshow yang berbentuk motivasi.


# 2

 
NOUVELLE BEAUTY CENTRE SDN. BHD.



 SEMANGAT kental dan tidak mudah mengaku kalah dimiliki jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, menjadi inspirasi kepada orang ramai terutama wanita untuk berjaya dalam perniagaan seperti dirinya.

Kegigihan wanita kelahiran Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor, ini memang tidak disangkal kerana siapa sangka, tanpa latar belakang pendidikan tinggi dan modal yang terhad, dia berjaya membina empayar perniagaannya sendiri yang kini dianggarkan bernilai jutaan ringgit.


Jelas pengasas produk Aura Seri itu lagi, sepanjang mengenali usahawan itu, dia memang seorang yang positif dalam kehidupan termasuk banyak membangkitkan semangat untuk berjaya.

Sosilawati tidak kedekut ilmu, idea mahupun wang ringgit dan sepanjang perkenalan mereka, dia selalu menitipkan pesanan jangan segan bertanya jika mempunyai keraguan atau masalah.

"Dia pernah berkata yang saya ada pakej untuk menceburi bidang kosmetik tetapi harus terlebih dulu mempelajari selok-belok selain perlu mempunyai keberanian.
 

"Malah dia juga menawarkan diri membantu daripada aspek berkaitan produk kecantikan jika saya mahu. Tetapi bila saya menyatakan belum bersedia untuk melangkah lebih jauh, dia turut berpesan supaya sentiasa bersikap positif memandangkan cabaran dalam bidang perniagaan ini.

"Pada masa sama, dia banyak menitipkan petua kerana dia sudah hampir 17 tahun berniaga sedangkan saya baru menceburi bidang ini tujuh tahun lalu," katanya.
Daripada pemerhatiannya, cara Sosilawati memberi nasihat memang tampak ikhlas dan bersungguh dengan apa yang dia perkatakan.

Katanya, kesibukan dengan perniagaan masing-masing menyebabkan mereka jarang berpeluang bertemu dan apabila sesekali bertembung di majlis tertentu, soalan pertama yang Sosilawati ajukan kepadanya adalah mengenai perjalanan perniagaannya.

"Pada pendapat saya, dia mahu persaingan perniagaan secara sihat. Dia juga tidak gemar menggunakan gelaran 'Datuk' yang dimiliki kerana tidak mahu wujud jurang dalam perhubungan.

"Selain itu, dia tidak pernah bermegah dengan kekayaan yang dimilikinya dan apabila rakan pengasas produk bertemu pada majlis tertentu, kami hanya bertanya khabar. Pernah kami ditemukan dalam satu majlis dan kami sama-sama memberi ceramah mengenai produk masing-masing.

"Sama ada dia dulu atau saya kemudian memberi ceramah, kami saling menghormati kedudukan dan produk masing-masing. Mungkin atas dasar itulah hubungan sesama kami sentiasa terjalin.

"Dengan kata lain, dia tidak pernah memandang rendah pada produk orang lain.
Jika saya katakan jualan produk tahun ini kurang memberangsangkan, dia beri idea supaya menukar strategi pemasaran dan pelbagai cadangan yang nampak benar-benar ikhlas.

"Ketika kali terakhir perbualan kami, dia meluahkan jualan kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Selebihnya, dia tidak bercerita panjang kerana semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

"Tetapi apa yang jelas, dia seorang 'kakak' bahkan mentor dalam apa juga perkara. Saya terharu atas keprihatinannya, juga kagum dan hormat kerana walau setinggi mana pun kedudukannya, dia tidak pernah menyombong diri," akuinya.

Fakta angka mengenai Sosilawati:
  • Anak keenam daripada 12 beradik.
  • Pernah bersama adiknya, Rosnani Lawiya, menoreh getah seluas dua hektar bagi membiayai yuran tuisyen pengajian dan tambang bas sebanyak RM20 sebulan.
  • Sosilawati pernah bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya selama 18 bulan sebelum menjadi kerani hotel.
  • Pada usia 21 tahun, Sosilawati berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik bagi membantu keluarganya.
  • Dia berkahwin dengan seorang pengurus bank, pada usia 21 tahun dan bercerai 12 tahun kemudian.
  • Hasil perkahwinan berkenaan, dia dikurniakan enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan.
  • Memulakan perniagaan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, pengedar produk kecantikan Nouvelles Visages (NV) dengan pinjaman bank sebanyak RM200,000 pada 1994.
  • Selepas 10 tahun, NV dikatakan mempunyai lebih 300 stokis di seluruh negara termasuk Brunei, Singapura dan Thailand.
  • Syarikatnya dikatakan mempunyai aset keseluruhan berjumlah RM6.37 juta, jumlah liabiliti RM5.01 juta dan simpanan yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM1 juta.
  • Untuk tahun kewangan yang berakhir pada 2007, syarikatnya mencatat keuntungan bersih RM183,173 dan mencatat pendapatan RM7.54 juta.
  • Dia pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Jamaludin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash pada 16 November 2006. Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada 26 Mei 2009.
  • Kes perceraian berkenaan mendapat liputan meluas apabila dia menuntut kembali RM1.38 juta daripada penyanyi berkenaan.
  • Membina bangunan sendiri di Cyberjaya bagi menempatkan pejabat syarikatnya yang dianggarkan bernilai RM20 juta.

4 comments:

Agaknya bila la saya boleh jadi seperti mereka ye.. :) ingin berjaya dan kaya.

Saya pun wanita..nak berjaya mcm mereka
Jenguk lah blog sy
http://vitamin4umama.blogspot.com

wau sangat terinspirasi dengan semangat kental mereka

wau sangat terinspirasi dengan semangat kental mereka

Post a Comment